sElAmAt DaTaNg...(^_^)

Thursday, 7 July 2011

uhibbuka fillah....(iluvislam)

Melihat air yang mengalir di sungai ini, hatiku bertambah syahdu. Air yang mengalir, deru yang mengelus, bagai menemani sedihku akan sebuah kehilangan. Aku akan terus disini menantimu sahabatku, aku kini akan memenuhi impianmu...
"Luqman, apa yang kau buat?" Luqman tersenyum padaku. Air matanya tiba-tiba bergenang sayu, "aku isi permohonan sambung belajar di Mesir." Aku tersentak mendengar jawapannya. "Kau serius?" Luqman tidak menjawab persoalanku, aku bagaikan disimbah kehangatan pilu.
"Iqbal, ana uhibbuka fillah," Luqman menatap mataku, tangannya berhenti menulis.
Kalimah agung itu diucap lagi. Aku sahaja yang masih belum mampu menuturkannya. Aku tidak berani bertanya lagi, aku takut diriku pilu, aku takut hatiku tidak mampu untuk menerimanya.
Tiga hari aku tidak hadir ke sekolah, suhu badanku mendadak naik, mengangkat tangan pun aku tidak larat, apatah lagi mahu melangkah keluar dari bilik. Luqman juga tidak kuhubungi. Sengaja! Aku tahu, sakitku ini berpunca dari berita yang kudengar. Aduh, hatiku belum mampu menerimanya, pilu apabila memikirkan Luqman akan meninggalkanku. Air mataku menitis tiap kali aku memikirkannya.
Pagi itu apabila aku membuka mata, aku lihat Luqman terlena disisi katilku. Dia duduk di atas kerusi sambil kepalanya terlentok di birai katil, jemarinya memaut erat lenganku. Dinihari tadi, aku ada tersedar, aku lihat ada orang sedang sujud di hujung katilku, tetapi kepalaku terasa terlalu berat untuk ambil tahu siapakah dia. Lama dia bersujud, hingga aku terlena kembali. Luqman rupanya... aku cuba menggerakkan tanganku dan Luqman segera terjaga.
Tersenyum dia ke arahku, matanya bengkak, sungguh dia tidak mampu menyembunyikan tangisannya sepanjang malam. Mahalnya aku tika itu untuk membalas senyumannya.
Dalam beberapa jam sahaja, suhu badanku semakin meninggi. Akhirnya aku masuk ke wad ICU kerana demam panas. Luqman langsung tidak meninggalkanku. Seminggu aku dirawat, seminggu itulah dia sanggup terlepas pelajarannya. Sungguh! Syahdunya saat itu.
Aku berlari keriangan, dalam genggamanku ada sepucuk surat. Sampulnya biru. Dari tulisan tangan di muka depan sampul surat itu, aku tahu siapa pengirimnya, aku tahu suratku berbalas, aku tahu dia membalas kirimanku. Aku hanya ingin mencari Luqman.
Luqman kehairanan melihatku, " kenapa ni?" Aku lantas memeluknya. Lantas ku suakan surat itu kepadanya, "surat apa ni?" berkerut dahi Luqman. "Asiah Maisara balas surat aku," senyumku sampai ketelinga, tersengeh macam kerang busuk. "kau tak cakap pun pada aku yang kau bagi surat untuk Asiah Maisara?" aku menjawab soalan Luqman dengan hanya senyuman.
Luqman sudah tahu tentang perasaan hatiku pada Maisara, tentu dia dapat mengagak apa isi suratku. Luqman menarikku ketaman, jauh dari orang. Aku masih diselubungi bahagia.
Luqman duduk di atas rumput, aku ikut serta, senyuman aku tiba-tiba hilang apabila aku melihat raut wajah Luqman yang sedikit tegang. Namun masih kelihatan tenang, sejuk hatiku.
"Iqbal, sahabat yang Luqman sayang, ketahuilah sayang Luqman kepada Iqbal hanya kerana Allah. Lama sudah aku ingin menegur isi hatimu, namun kupendam jua, mencari waktu yang sesuai. Sebelum kau buka sampul surat itu, dengarlah luahan hatiku.
Iqbal, yang kucintai, tidak salah menyayangi seorang perempuan kerana itu fitrah. Namun pabila fitrah disalah guna, jadilah ia fitnah. Fitnah itu ada bermacam-macam jenis, salah satunya adalah zina.
Zina itu dilaknat Allah. Zina pula ada bermacam-macam jenis. Zina hati, apabila kita merindui dan berkhayal orang yang kita rasa kita cintai, dan ajnabi bagi kita. Zina tangan, apabila kita telah memegang ajnabi, menulis kata-kata cinta untuk si dia juga dianggap zina tangan. Zina mata, apabila kita selalu memandangnya, bahkan menjelingnya. Nauzubillah.
Iqbal, sahabat yang kukasihi. Cinta yang benar-benar sejati adalah cinta Allah, kemudian cinta Rasul. Aku ingin mengajak kau bercinta bersama-sama denganku. Cinta Allah tidak pernah mengecewakan, cinta Allah selama-lamanya abadi."
Aku menitiskan air mata mendengar madah bicaramu, hatiku basah dengan linangan syahdumu. Dan bermula saat itu, kau mengajar aku mengenal cintanya Robbi. Aku membuka lipatan surat ditanganku. Kertas itu hanya dihiasi serangkap madah;
"Cinta yang kucari adalah cinta Ilahi. Hati ini masih belum benar-benar mencintai Ilahi, aku tidak rela meretakkan cinta yang kusulam dengan cinta ajnabi. Carilah cintaNya yang hakiki, nescaya kau tidak kecewa dengan duniawi."
–Asiah Maisara-
Menitik air mataku disetiap sujudku. Saban ketika aku terbayang gadis solehah bertudung labuh itu, yang menemaniku, sesalan khilafku.
Suatu hari, Luqman menghadiakanku Quran terjemahan sedangkan Luqman tahu aku sudah punya satu.
"Ambillah, ini pemberian dari orang yang kau cinta."
Aku anggap itu pemberian darimu, lantas kupeluk dan kucium, ku bawa kemana sahaja.
Saat itu, cintaku pada Asiah Maisara telah kucampakkan kepinggir hati agar dia tidak mencuri cintanya Robbi.
Tamat sahaja kertas terakhir SPM, Luqman menghulurkan satu borang kepadaku. Tersenyum dia menatapku, "Ini borang kursus dakwah dan tarbiah, dua tahun di Madarasah As-salasussoleh." Pakcik aku yang anjurkan. Tempat aku dan kau dah tersedia. Setujulah?!"
Dua tahun? Sempatkah Luqman menghabiskannya bersama denganku. Tawaran ke Mesir akan sampai sebelum itu. Tegakah?
Namun aku tidak berani bertanya, takut ke ICU lagi. Sejak peristiwa dahulu, Luqman tidak lagi membuka kisah ini, mengerti barangkali. Kami teruskan jua perjuangan di As-salafussoleh.
Luqman banyak membantu. Tika aku masih belum mampu bangun tahajjud, sabarnya dia mengejutkanku. Kadang-kala, tanpa sedar aku membentaknya. Aku jua tahu, dia memberi bermacam-macam alasan kepada pelatih, agar dia mampu membimbingku sendiri tanpa paksaan. 
Menghafal al-Quran juga begitu. Kami sama-sama, tetapi dia lagi mudah menghafal dariku. Malah aku tahu sesetengah surah telah dihafalnya, namun dia sengaja mengulangnya berkali-kali dan tidak beralih kesurah lain, melainkan aku telah menghafalnya dengan fasih.
Luqman, betapa sabarnya kau membimbingku. Keputusan SPM keluar, tika kita masih dalam perjuangan. Keputusan Luqman cukup cemerlang. Aku tahu dia akan layak meninggalkanku untuk memenuhi impiannya ke Bumi Anbiya. Diam-diam aku mengisi borang permohonan ke sana. Aku ingin menyusulmu, walaupun bukan hari yang sama denganmu.
Suatu hari, tika Luqman tiada di biliknya, aku perasan akan surat itu dalam timbunan segala kitab. Seolah-olah Luqman mahu menyembunyikannya dari sesiapa sahaja.
-Surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir-
Tersentak jantungku, apa yang aku bayangkan Luqman akan pergi meninggalkanku dibumi ini sendirian lagi. Namun ku lihat tarikh surat itu, 3 bulan yang lalu, dan tarikh yang sepatutnya dia bertolak ke Mesir adalah...KELMARIN.
Terduduk aku disitu, lantas kusujud. Allah, Kau mengerti akan deritanya hatiku seandainya Luqman jadi pergi. Allah, aku tahu Luqman berkorban demiku, mengorbankan cita-citanya demi sahabat tercinta.
Aku kembali meletakkan surat itu di tempat asalnya. Aku tidak mahu Luqman tahu, aku tahu akan kisahnya. Aku tidak mahu Luqman tahu aku berkongsi derita sebuah impian yang tidak kesampaian.
Ingin sekali aku bertanya mengapa dia melepaskan peluang ini. Tetapi, entah kenapa, aku tidak sanggup. Kupendamkan jua.
Sampailah suatu hari...
Selesai solat subuh Luqman menyalamiku, matanya sembap, aku tidak tahu mengapa, tangannya terasa beku. Luqman mendakapku.
Aku merasakan dakapannya memaut bahuku. Debar! Semakin berat dan semakin berat.
"Luqman?"
Kau tidak menjawab teguranku, badan Luqman seolah-olah menggelongsor dari pelukkanku.
"Luqman,"
Allahhu Akbar, saat itu jantungku, hanya Robbi yang mengerti.
 Aku sempat memautnya, aku terduduk, memangku Luqman, ku paut lengannya, aku biarkan dia baring di ribaanku. Luqman sempat tersenyum padaku sebelum matanya kian terpejam dan terus terpejam. Wajahnya pucat, bibirnya biru, namun raut tenangnya seolah-olah memujuk hatiku.
"Luqman, 
 bibirku bergetar, aku menggoncang tubuhnya, namun tubuh itu terus beku. Menitis airmataku, Luqman dikejarkan ke hospital.
Hancur luluh hatiku melihat derita Luqman. Sepanjang hari aku menemani Luqman, tidak sejenak pun aku tinggalkan. Solat pun di situ, makan sudah aku lupakan. Apa yang ada dihatiku, fikiranku, mataku, sentuhanku hanyalah Luqman. Sepanjang hari Luqman tidak sedarkan diri.
Pucat lesi wajahnya merenggut jantungku. Malam itu aku bertahajjud lama. Sepanjang doa yang kurintihkan, airmata yang menemaninya. Sepenuh pengharapan kuserahkan pada Ilahi, mohon agar dikembalikan Luqman kepadaku.
Esoknya Luqman mulai sedar, namun dia belum mampu berbicara. Apa yang dilakukan padaku hanyalah tersenyum. Aku tahu dia mahu aku tabah, tabah harungi ujian ini. Senyuman itu juga menunjukkan dia kuat mengharungi ujian ini.
Seminggu berlalu, Luqman kelihatan semakin pulih. Orang yang paling gembira adalah aku. Mulanya Luqman solat, hanya dengan gerakan mata, kini dia sudah boleh mengiring menghadap kiblat.
Saban malam aku sujud syukur pada Ilahi, ku mohon agar Luqman diberikan kesembuhan sepenuhnya.
"Iqbal!"
Aku tersentak, rintihanku disela teguran Luqman. Aku cepat menghapuskan air mataku. Segeraku hampiri Luqman. Tanganku spontan mengusap ubun-ubun Luqman. Allah, rambutnya gugur. Aku cuba mengawal reaksiku, kerana aku tahu Luqman sedang menatapku.
"ana uhibbuka fillah," 
 sayu suara Luqman menyapa pendengaranku, air mataku lantas mengalir deras di pipi Luqman tersenyum sambil air matanya turut mengalir. Aku lantas memeluk Luqman erat-erat, "ana uhibbuka fillah, Luqman."
Aku terasa Luqman membalas pelukkanku. "Itu yang pertama, kau ucapkan? Sudah lama aku menanti, bertahun rasa dan akhirnya..." ayat itu diakhiri esakkan. Aku menangis dan dia juga. Esakkannya semakin perlahan, "kau tahu..." katanya memulakan bicara. Aku melepaskan pelukan sedikit demi sedikit. "Aku dapat tawaran ke mesir," diam sejenak. "Dan aku tahu kau sudah tahu," airmataku menitis lagi. Aku tidak berani bersuara. 
"Tetapi apabila aku istiqharah, dalam sujudku, aku hanya nampak bayangan wajahmu, Iqbal. Kadang kau menangis, kadang kau ketawa. Setiap kali istiqharahku, bayangan kau yang menemani, aku jadi keliru, mengapa begini?"
 "Suatu malam aku bermimpi, kau dan aku di sungai yang selalu kita kunjungi. Kau kata, Allah tidak mahu aku ke Mesir, Allah mahu aku disisi kau, menemaniku. Kerana itulah aku menolak tawaranku ke sana. Aku tahu mimpiku petunjuk yang esa. Takku sangka begini akhirnya."
Air mata Luqman menitis, aku pantas memeluk Luqman kembali, dengan tangisan. Luqman berbisik padaku, "esok bawakan aku ke sungai itu. Aku ingin bersamamu buat kali terakhir." Aku mengangguk lesu. Moga itu bukan kali terakhir.
"Aku punya satu permintaan lagi."
"Apa, Luqman?"
"temani aku dengan alunan al-Quran dan zikir dari suaramu, Iqbal." 
 Akan ku tunaikan permintaanmu, Luqman.
Setelah mendapat kelulusan daripada pihak hospital dan memberi jaminan membawa Luqman kembali ke sini, aku dan Luqman akhirnya sampai jua ke kawasan air terjun ini. "kau tahu kenapa aku suka sangat kawasan air terjun ini?" Aku memandang Luqman, dia tersenyum menatap aliran air sungai yang mengalir. Ya Allah, betapa Luqman menyembunyikan derita sakitnya. Aku menahan air mataku dari terus mengalir, aku mahu Luqman lihat aku kuat.
"kau pernah beritahu aku, saban ketika kita berkunjung kesini. Kau kata kau suka dengar alunan zikir di sini. Kau suka dengar suara sungai dan air terjun ini mengucap tahmid kepada Allah, angin menderu mengalun tasbih kepada 'yang Satu' dan unggas yang bersama-sama denganmu melafazkan takbir." 
 Luqman senyum lagi, betapa senyumannya menyejukkan hatiku.
"Iqbal!"
"ya!"
"ana uhibbuka fillah"
"ana uhibbuka fillah aidhan."
Aku sudah kuat untuk membalas kata-kata itu dan aku kuatkan diri, supaya air mata ini tidak menitik ke pipi.
"Kau tahu, setelah Allah dan Rasul, kedua-dua arwah ibu dan ayahku...kau hadir saatnya aku kehilangan mereka...insan yang kucintai, setelah mereka, sepenuh hatiku, adalah engkau Iqbal!"
Menitis jua airmataku, tidak mampu kutahan lagi. Kupeluk Luqman seerat-eratnya.
"kerana kau jua kucintai sepenuh hati, Luqman"
Pulang dari air terjun, Luqman meminta untuk berehat, lantas Luqman tidur. Dua hari Luqman tidak sedarkan diri. Tapi doktor cakap keadaan Luqman stabil, Luqman sudah melepasi saat-saat kritikal. Itu sudah cukup membuatkan aku tenang.
Aku sentiasa di sisinya, menunaikan janjiku, mengalun al-Quran. Kadang-kadang apabila aku penat, aku alunkan zikrullah. Sekali-sekala aku melihat Luqman tersenyum dalam lenanya. Penatku hilang, lantas ku sambung bacaanku.
Petang itu adikku datang, membawa surat yang sampai di rumah. Rupa-rupanya surat tawaran ke Mesir. Jadual penerbangannya lebih kurang 4 bulan lagi. Aku ingin memberitahumu, Luqman.
Apakah aku jua akan bekorban seperti mana pengorbanan yang pernah Luqman relakan?
Pagi esoknya Luqman membuka mata. Gembiraku bukan kepalang. Nampak sahaja diriku, Luqman tersenyum, dan perkataan yang pertama keluar adalah, "ana uhibbuka fillah, Iqbal."
Menitis airmataku. Luqman nampak segar, tiada kesakitan di wajahnya. Serasanya ada cahaya yang bersinar menyuluh harapan.
Ku genggam surat tawaranku.
"Balaslah, katakan untuk kali terakhir."
Aku tersedu. "Luqman, ana uhibbuka fillah sepenuh hatiku."
Luqman tersenyum. "moga Allah mempertemukan kita di syurga."
Aku mengangkat surat tawaranku. Belum sempat aku bicara, Luqman sudah mula berkata, "bisikkan padaku syahadah." Aku tersentak, jantungku direnggut. Namun ku sembunyikan. Aku menurut, ku dekatkan wajahku ketelinganya.
"Terima kasih kerana menjadi sahabatku Iqbal. Yang aku cintai semata-mata kerana Allah." Menitis jua airmata Luqman di pipinya.
"Terima kasih buatmu jua sahabatku."
Luqman diam, matanya terpejam, aku mengalunkan syahadah di sisi telinganya, aku mendengar halus suara Luqman mengikut. Aku teresak.
"Asyhadu anla ilaha illallah waasyhadu anna muhammadar-rasulullah."
Kemudian suasana menjadi sunyi. Aku kembali berdiri. Entah bagaimana sinar mentari dhuha bisa mencelah masuk, menyinari ubun-ubun Luqman. Dan hembusan nafas terakhir kalinya meninggalkan aku. Aku terduduk. Semacam kudengar bisikan Luqman,
"kerana Allah bersama denganku, Allah jua di sisimu Iqbal. Pasrahlah."
Aku terima pemergian dia, insan yang kucinta. Sebentar lagi aku akan terbang menunaikan impian Luqman. Terbang untuk mendengar tasbih, tahmid dan takbir sungai Nil. Kupeluk erat Quran terjemahan yang Luqman hadiahkan.
"Masih erat ya, nta peluk Quran pemberian ana."
Aku tersentak, ku dongak, seorang gadis berpurdah berdiri di hadapanku ditemani seorang lelaki. Aku kenal lelaki disisinya, tentu gadis berniqab ini kakaknya, "Asiah Maisara?"
Aku nampak bening matanya mengecil, barangkali dia sedang tersenyum. "Boleh ana pegang Quran itu sebentar?"
Dalam kekagetan, aku menyerahkan Quran ditanganku kepada Maisara. Betul-betul didepan mataku, Asiah Maisara menyelitkan sepucuk surat dalam helaian al-Quran itu. Aku terkesima.
Dia kembali memberikan Quran itu padaku. "Ana minta diri dulu," dan dia berlalu. Aku membuka Quranku dan melihat tulisan pada sampul surat yang diberikan 'balasan surat ini adalah untuk surat yang nta beri waktu sekolah dahulu'.
Aku tersenyum, teringat kembali kata-kata Luqman, "ambillah, ini pemberian dari orang yang kau cinta." Aku memeluk dan mencium Quranku.
-Seperti yang nta tahu, ana adalah mahasiswi universiti yang akan nta jejaki. Telah ana ceritakan tentang nta pada Abi ana. Dua bulan lagi, kami sekeluarga akan mengerjakan umrah. Selesai umrah, abi ana akan menikahkan ana dengan lelaki pilihan ana. Dan lelaki pilihan ana adalah nta Iqbal. Semoga nta sedia menunggu ana disana, kerana ana yakin ana masih dihati nta. 
 -Asiah Maisara-

impian cintaku...(copy dr iluvislam)

Ketika sedang bersembang dengan seorang sahabatku, dia berjalan di tepi kami. 

"Andai aku diberikan suami, aku nak yang macam dia lah...." Bisik hati insan kudus ini. Dia terkenal sebagai pemuda yang "baik-baik". Dia yang aku maksudkan, seorang jejaka soleh bernama Fakri Hakimi.

Hari ini merupakan hari bahagiaku. Aku lengkap berpakaian putih berona pink, duduk bersimpuh di atas pelamin mini akad nikahku dalam majlis serba pink di rumah orang tuaku. Kelibat Fakri Hakimi yang segak berbaju melayu nyata melegakan keresahan hatiku.

Di kota ilmu, aku memasang misi ku menghadiahkan segulung ijazah buat ibu bapaku. Aku, Alin Adila merupakan seorang gadis simple yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi. Bagiku, tidak perlulah berpakaian sarat semata-mata untuk ke kelas cukuplah sekadar memakai jeans dan T-shirt lengan panjang, dan tudung bawal yang menjadi pilihan hati.

Di kolej kediaman, aku tinggal bersama dua orang lagi roomateku, Mira dan Maisara. Mira bertudung hanya kerana tepaksa menatuhi syarat wajib di kampus. Maisara pula sentiasa bertudung labuh. Ditakdirkan Allah, aku dipertemukan dengan dua insan yang sangat berbeza, berbeza perwatakan dan juga gaya hidup. Aku masih ingat, hampir beberapa hari aku tidak bertegur sapa dengan Mira gara-gara mira yang agak kasar memarahiku semula apabila aku menasihatinya agar memakai tudung di luar kampus. Maisara pula berbeza perwatakannya, dia pernah menegur cara aku berpakaian menampakkan bentuk badan waima bagiku, aku telah menutup aurat sepenuhnya. Magis sekali, kami dipertemukan dalam titik perbezaan ini!

"Kau ni tak sportinglah. Jomlah,ikut aku pergi picnic dekat Port Dickson dengan kawan-kawan Zaki, Takkan lah aku nak ajak Sara yang bertudung labuh tu pulak," Mira mengajakku dengan penuh kesungguhan.

Kalau diikutkan hati, aku memang tidak mahu menurut ajakan Mira tetapi kata-kata mira seterusnya membuatkan aku terasa dan kalah dengan prinsip hatiku sendiri.

"Ke kau jelous tengok aku dengan Zaki dating? Yelah kau kan tak ada pakwe," Sinis Mira. Lantas aku membuat keputusan untuk pergi juga, "yelah, aku pergi."

Sara yang sememangnya kerap tiada di kolej kediaman kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti persatuan, membuatkan aku menjadi lebih rapat dengan Mira. Aku, bukanlah alim orangnya, namun sejak zaman sekolah lagi aku tidak biasa bersosial dengan kawan-kawan lelaki. Akan tetapi kulihat Mira sangat mudah membenarkan Zaki menyentuh tangannya, mendakap mesra tubuhnya dan memeluknya. Zaki, bukanlah seorang yang jahil akan hukum hakam agama malah, dia merupakan seorang pelajar Pengajian Islam yang sepatutnya lebih faham dan arif tentang perkara yang haram dan halal. Seorang lelaki yang baik bagiku akan memuliakan seorang wanita bukan hanya merosakkan wanita tersebut dengan menurut hawa nafsu semata-mata.

"Ustazah je lah carikanlah untuk saya," gurauku ketika diusik Ustazah Harlina Hashim mengenai soal jodoh. Aku bersyukur dikurniakan seorang ustazah sebagai mentorku, malah aku sangat rapat dengannya. Perbincanganku dengan ustazah mengenai soal jodoh tersebut membuatkanku terfikir bagaimana akan aku tenemui jodohku nanti. Adakah aku akan menjadi seperti Mira dan Zaki, bertahun-tahun bercinta bagai nak rak , berdating dan bermadu kasih atau....

Aku menamatkan pertanyaanku sendiri tanpa sebarang jawapan yang pasti. Setelah selesai perjumpaan dengan mentorku, aku mendapat maklumat bahawa pelajar tahun kedua diwajibkan menghadiri program khas di masjid. Jujur aku katakan, aku cuma pergi ke program tersebut kerana terpaksa kerana diwajibkan untuk pergi, jika tidak jangan haraplah aku akan pergi menghadiri program seperti itu. Program yang dimaksudkan adalah sebuah program diskusi ilmiah yang memperlihatkan Fakri Hakimi sebagai salah seorang barisan panelnya. Aku mengenalinya ketika terlihat poster-poster yang terpampang di segenap ruang kampus ketika pilihan raya kampus semester lepas. Setelah beberapa minit diskusi berlangsung, aku mula mengagumi Fakri dalam diam. Kagum kerana dia merupakan seorang bakal jurutera akan tetapi begitu petah berbicara soal agama.

Rasa kagumku kepadanya tidak terhenti di situ. Aku menjadi lemah dan tertawan dengan gaya penampilannya yang kemas dan segak, tutur katanya yang berhikmah dan ketinggian ilmunya. Pada satu hari Sara mengajakku menghadiri program ilmiah yang akan diadakan di luar kampus, "Alin nak join program yang bakal diadakan di luar kampus hujung minggu ni?, Fakri Hakimi, one of the panel kat masjid semalam minta tolong aku carikan peserta untuk memeriahkan lagi program ini.

"Erm, bolehlah," balasku setelah berfikir seketika. Sebenarnya sudah beberapa kali Maisara mengajakku menghadiri program-program keagamaan seperti ini tetapi aku bukan sahaja malas untuk melibatkan diri, aku juga segan untuk turut serta dengan program-program seperti ini kerana aku bukanlah sealim Sara yang mengenakan tudung labuh. Aku takut persepsi mereka terhadapku adalah negatif.

Tetapi kali ini, aku mengagahkan diri untuk turut serta demi Fakri Hakimi. Semakin aku mengenali Fakri Hakimi, semakin aku sedari dia lah lelaki yang aku dambakan selama ini. Sejak itu aku semakin giat menyertai program-program ilmiah dan keagamaan yang diadakan di luar kampus mahupun di luar kampus. Malah, aku mula berjinak-jinak memakai tudung bidang 50 dan seterusnya bidang 60. Aku berpegang dengan kata-kata hikmah ini , 'Kalau ingin mencari yang soleh, maka jadilah yang solehah dulu!'

"Kalau anti suka pada seseorang tu, lebih baik beterus terang," bicara Fakri padaku menjawab kepada persoalanku mengenai jodoh yang aku utarakan kepadanya.

"Tapi ana seganlah, macam perigi cari timba je," balasku ringkas dengan nada perlahan. Dadaku berombak kencang dengan tiba-tiba.

"Sama ada perigi mahupun timba kenalah sama-sama mencari, mintalah pertolongan daripada Allah. Selain itu kalau anti segan, ana rasa lebih baik sekiranya anti gunakan orang tengah seperti yang dilakukan oleh Saiditina Khadijah," cadang Fakri dengan penuh berhikmah. Sesungguhnya, dia tidak mengetahui bahawa dia lah orang yang aku maksudkan.
Setelah berhari-hari memikirkan kata-kata Fakri tempoh hari, aku mengambil keputusan untuk menuruti cadangan kedua yang Fakri utarakan. Aku berpendapat Sara adalah orang yang paling sesuai untuk menjadi orang tengah antaraku dan Fakri kerana Sara sudah lama mengenali Fakri. Aku yakin, Sara juga tahu sedikit sebanyak latar belakang Fakri.

 Dengan hati yang berdebar-debar aku berjalan ke arah Sara yang ketika itu sedang melayari internet menggunakan laptop berjenama Dell miliknya. Belum sempat aku memulakan bicara, Maisara terlebih dahulu memulakan perbualan sebaik sahaja dia menyedari kehadiranku disisinya. "Cantikkan tunang Fakri ni, manis dan baik sungguh orangnya. Aku jumpa dia masa aku join program di UIA minggu lepas, tak sangka sudah hampir setahun mereka bertunang. Pandai sungguh Fakri berahsia," ujar Maisara sambil matanya masih tertumpu menghadap laptop.

Aku tergamam, terasa seperti ingin menitiskan air mata di situ juga, jasadku masih disitu namun ku rasa roh ku seakan-akan telah melayang terbang dan hilang. Ya Allah, ini merupakan tamparan yang maha hebat bagiku!

Tanpa pengetahuan sesiapa, termasuk Mira dan Sara, aku cuba menyembunyikan kesedihan yang sebenarnya tidak mampu untuk ku bendung. Aku berubah kerana Fakri, aku juga tampil dengan penampilan yang lebih islamik kerana Fakri tetapi semuanya hanya sia-sia! Apa kurangnya aku, Ya Allah? Ternyata kini, rupanya rinduku dan rasa kasihku selama ini adalah kepada tunangan orang! Astagfirullahalazim...

Keesokan harinya, terasa sungguh berat kaki ini ketika melangkah menuju ke program ilmiah yang diadakan di auditorium Fakulti Kejuruteraan. Aku cuba mengelak memandang wajah Fakri ketika bertembung dengannya disana. Tidak sanggup rasanya melihat Fakri yang sentiasa ceria itu sebenarnya sudah menjadi tunangan orang lain.

"Wah Fakri, cantik tunang anta. Pandai anta pilih. Kalau bukan sebab program di UIA haritu mesti sampai sekarang ana tidak tahu anta sudah bertunang," Sara menegur Fakri setelah program tersebut selesai.

"Sebenarnya kami memang berhasrat untuk tidak menghebohkan pertunangan kami. Insya-Allah pada hari pernikahan nanti saya akan menjemput kamu berdua ke majlis kami. Sebenarnya, kami tidak pernah berjumpa. Selama ini, kami cuma berbicara di telefon perkara yang perlu sahaja. Sejak awal lagi ana telah serahkan urusan jodoh ini semuanya di tangan keluarga," jawab Fakri yang membuatkan aku terpegun serta merta. MasyaAllah, benarlah seperti yang aku katakan di atas tadi, seorang lelaki yang baik akan memuliakan seseorang wanita, dan Fakri adalah tergolong dalam golongan lelaki yang baik itu.

Malam itu, aku merintih dalam doa kepada Rabbiku. Betapa berdosanya diri ini, Ya Allah. Selama ini aku tidak ikhlas dalam perubahanku. Aku bertudung labuh semata-mata demi seorang lelaki. Malah,aku perjuangkan dakwahMu cuma kerana aku ingin dekat dengannya, bukan ikhlas keranaMu. Bercucuran air mata turun dan mengalir dari kelopak mataku. Hari-hari berikutnya, aku meniti kehidupanku dengan tabah dan berharap keampunan Allah S.W.T untukku.

Alhamdulillah. Aku telah terpilih mengikuti program pertukaran pelajar di University Sydney, Australia selama 3 bulan. Bagiku pemilihan ini merupakan satu rahmat besar buatku. Sedikit demi sedikit aku sudah berhenti memikirkan Fakri dan lebih menumpukan mindaku menikmati keindahan ciptaan Allah di bumi Australia. Setelah beberapa minggu di sana, aku membuat panggilan kepada Ustazah Harlina Hasyim.

"Kalau dah suka sangat duduk di Australia tu, baguslah. Lagipun ustazah ada anak saudara yang sedang belajar medik disana. Kemungkinan besar dia akan bekerja di sana juga selepas mendapat ijazah akhir tahun ini. Senang macam ni, ustazah jodohkan dia dengan kamulah."gurau Ustazah Harlina sambil tergelak kecil.

Ya, siapa sangka gurauan itulah yang mengukir episod-episod seterusnya dalam hidupku. Gurauan tiga tahun lepas itulah yang membuatkan aku bahagia meniti hari-hari ku yang sebelum ini pernah malap kerlipannya. Hari ini hari bahagiaku, dan aku Alin Adila kini sedang menghampiri sebuah perkahwinan yang dibina atas dasar yang suci.

Di atas permaidani itulah bakal suamiku, Dr.Haikal Azim, seorang doktor yang bekerja di Sydney Children's Hospital, Randwick Australia. Nampaknya aku akan kembali menetap di bumi Australia. Jika tiga tahun lepas aku menetap hanya selama 3 bulan mungkin selepas ini bertahun-tahun lamanya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang bakal terjadi. Ditakdirkan Allah, aku tidak menikahi lelaki yang bernama Fakri tetapi yang akan aku nikahi sebentar lagi merupakan sahabat baik Fakri sejak kecil. Satu kebetulan yang aku sendiri tidak jangka selama ini.

Hari ini Fakri kelihatan cukup segak berbaju melayu berada di sisi bakal suamiku yang akan aku nikahi sebentar lagi. Kelegaan aku ketika melihat kelibat Fakri tadi adalah kerana sekiranya bayang Fakri kelihatan, sudah tentulah bakal suamiku telah tiba disini bersama rombongannya. Fakri dan Haikal sememangnya terlalu akrab. Suatu ketika dahulu aku pernah berkata bahawa aku ingin mendapat suami macam dia (Fakri).

Alhamdulillah Allah menemukan aku dengan Dr.Haikal Azim yang sifatnya, akhlaknya sebaik Fakri yang dahulunya sering aku kagumi. Aku teringat kata-kata Fakri suatu ketika dahulu. "Perigi dan timba harus sama-sama mencari." Aku yang meminta 'dicarikan jodohku' oleh ustazah (walaupun bukan secara direct) dan bakal suamiku pula meminta mak longnya mencarikan bakal isteri buat peneman hidupnya di perantauan. Fakri sudah selamat diijabkabulkan dengan isterinya yang merupakan tunangannya suatu ketika dahulu pada tahun lepas. Kini, mereka kelihatan begitu mesra bersama. Aku berdoa semoga kebahagiaan itu menjadi milik mereka selamanya dan kebahagianku adalah pemilik hakiki hatiku kini.

Monday, 4 July 2011

saya lebih sayangkan ALLAH,lebih dari segalanya...

Hari ini, aku luangkan masa lapangku dengan melayari internet, laman sosial yang digilai para remaja masa kini. Aku nampak di homepage, kawan aku ni like satu link yang menarik perhatianku.
"Aleesya likes a link."
Oh, dari iluvislam.com rupanya. Semua artikel yang ada kat iluvislam.com sangat menarik. Dari laman web ini lah aku dapat banyak pengajaran. Banyak yang aku perlu tahu. Banyak yang aku perlu pelajari.
Tapi entah lah... artikel yang satu ni sangat menarik, dan membuka mata hatiku.. tajuknya :
Maaf, Ini Adalah Yang Terbaik.
"Apa yang aku dah buat ni....?
Astaghfirullah, selama ni aku ingin mencari keredhaan Allah. Aku ingin berdakwah. Aku kongsi artikel Islam untuk semua kawan aku. Kononnya ingin memuhasabahkan diri, dan juga kawan-kawan yang lain. Tapi apa yang telah aku lakukan?
Aku masih melakukan dosa! Dosa yang 'izhar'. Terang dan nyata. Aku masih bercinta! Cinta yang belum lagi halal dan sah buatku. Ya Allah....apa yang telah aku lakukan ni...?"
Aku berfikir sejenak.
Sebelum ni kami memang pernah berbincang mengenai hal ini. Couple itu haram. Tapi disebabkan terlalu cinta, kami masih belum sedia untuk memutuskan hubungan ini. Kami terlalu sayangkan hubungan ini. Dan aku, terlalu sayangkan dirinya. Sebab dialah yang banyak mengajar aku apa erti cinta.
Sebelum ni aku pernah dikecewakan oleh seorang lelaki. Aku serik. Tapi kehadirannya dalam hidupku mengubah segalanya. Aku yakin, dia adalah untukku. Tapi perjalanan kami masih terlalu jauh. Aku sangat sayangkan dirinya, tapi aku lebih sayangkan Allah.
Mungkin inilah saatnya untuk mengatakan semuanya kepada si dia. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan. Semoga Engkau permudahkan semua ini... Hatiku berkata. Aku sengaja kongsi artikel itu kat social network aku.
Si dia: Saya baca link yang awak share tu..
Saya: Oh artikel tu.. yeap.
Si dia: Semua artikel mengenai couple dalam Islam yang saya baca, semua macam tu. Hmm..
Saya: Saya nak beritahu kat awak sesuatu yang sangat penting. Sebenarnya, perjalanan kita masih jauh lagi. Kita masih belajar, 3 tahun lagi baru nak grad. Kita sama-sama nak mencari keredhaan-Nya, tapi kita masih melakukan dosa.
Walaupun tidak melakukan zina yang zahir, tapi kita masih berzina hati. Awak faham kan maksud saya? Kita masih merindui diri masing-masing. Sedangkan kita tahu, kita masih belum ada ikatan. Terlalu jauh nak fikirkan semua tu. Saya rasa bersalah kat Allah. Sebab saya cakap saya sayangkan Allah, tapi saya masih tak dapat tinggalkan apa yang saya cintai..
Si dia: Saya tahu. Kita cakap mengenai Islam, kita berdakwah, tapi kita sendiri belum betul-betul tinggalkan apa yang Islam suruh kita tinggalkan. Saya pun ada berfikir pasal ni jugak.. Terasa diri ni hipokrit, sebab saya suruh kawan buat benda yang baik, tapi saya sendiri masih melakukan dosa..
Saya: Saya dah lama berfikir pasal ni sebenarnya. InsyaAllah, inilah masanya. Hmm, awak.. Mungkin ini saatnya untuk kita berpisah... kerana Allah. Saya nak buktikan kepada Allah, yang saya lebih sayangkan Allah, lebih dari segalanya..
Si dia: Kerana Allah kita berjumpa, kerana Allah juga kita berpisah. Kita hanya ciptaan-Nya, memang patut kita sayangkan Allah lebih dari apapun. Saya setuju kalau semua ini kerana Allah. Awak, mungkin ini berat untuk awak, saya pun terasa berat juga.
Tapi sebagai hamba, kita mesti berusaha untuk mencari keredhaan-Nya, kita mesti berkorban. Awak doalah banyak-banyak.. InsyaAllah, kalau kita ada jodoh, Allah akan pertemukan kita kembali. Simpanlah air mata tu. Assalamualaikum. Jaga diri baik-baik ye, awak...
Ya Allah... Hubungan yang hampir 3 tahun terjalin tu telah pun berakhir. Berat, memang berat. Hati ini berat untuk melepaskan kata berpisah. Aku tahu, hatinya juga terasa berat untuk merelakan aku pergi. Kami sama-sama setuju untuk berpisah hanya kerana Allah. Air mata ini mengalir, dan terus mengalir. Aku terus saja inform sahabat karib aku, sebab dialah satu-satunya sahabat yang memahami aku.
"Memang bukan senang untuk lupakan, tapi terimalah, sebab awak lakukan ini kerana Allah. Buktikan kalau awak memang sayang kat dia sebab Allah. Hati ini memang badan yang punya, tapi hakikatnya, Allah yang punya.
Kalau Allah yang punya, mestilah Allah lebih berkuasa terhadapnya, kan? Redha lah.. sebab kalau kita lepaskan sesuatu tu kerana Allah, InsyaAllah, Allah akan permudahkan. Memang lepas ni awak akan rasa kosong, sebab hari-hari tu selalu ada diriya. Apatah lagi hubungan ini berakhir bukan dengan cara yang tidak baik. Lagi sukar untuk melupakannya. Awak bawa solat banyak-banyak, berdoalah supaya dia adalah jodoh awak. Baca Al-Quran supaya hati awak tenang..."
Aku redha dengan ketentuan Ilahi. Biarlah aku korbankan cintaku terhadap si dia semata-mata kerana Allah. Kerana aku yakin, Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan hamba-Nya. Aku ada pernah terbaca...
".. rindu yang disertai dengan menjaga diri padanya dan menyembunyikannya daripada orang-orang, maka padanya pahala, bahkan Ath-Thohawi menukil dalam kitab Haasyi'ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi yang mengatakan bahawa termasuk dari golongan syuhada di akhirat ialah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan daripada orang ramai meskipun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram."
Kali ini, biarlah aku mencintai dan merinduinya dalam diam. Biarlah aku memendam kerinduan dan cintaku terhadapnya sehingga sampai waktunya. Jodoh itu ditangan Allah. Aku tidak akan berputus asa. Aku akan berdoa semoga dia adalah untukku, InsyaAllah.
"Seandainya telah Engkau catatkan dia tercipta buatku, satukanlah hatinya dengan hatiku, Ya Allah. Tetapi ya Allah, seandainya telah Engkau takdirkan dia bukan milikku, bawalah ia jauh dari pandanganku, luputkanlah ia dari ingatanku, dan pelihAaralah aku dari kekecewaan.."
Hati ini memang lemah, memang sedih, tapi Allah telah berfirman..

Surah Al-Imran, ayat 139 yang bermaksud:
"Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman."

Surah At-Tawbah, ayat 40 yang bermaksud:
"Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."

wanita

"Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki."

Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa gunanya aku menjadi perhatian lelaki andai murka Allah ada di situ.

Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya bisa menjadi milikmu seorang.

Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang bisa dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mau menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan.
Bagaimana akan kujawab di hadapan Allah kelak andai ditanya? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias peribadiku karena itulah yang dituntut oleh Allah.
Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak kunafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu karena ia semata-mata untukmu.
Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.
Diriku yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah saat seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa.
Aku merasa seolah-olah kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah wujud bersamaku.
Di mana saja aku berada, akal sadarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak.
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.
Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita yang lain, dilamar lelaki yang bakal memimpinku ke arah tujuan yang satu.
Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf Alaihisalam, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman Alaihisalam, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wassalam, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.
Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah.
Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu karena kita masih tidak mempunyai hak untuk membuat begitu.
Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Illahi.
Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyangga ataupun sandaran perjuanganmu.
Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.
Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku.
Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu karena dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.
Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, diakrabi oleh lelaki yang bukan muhrimnya, cukuplah dengan itu hilang harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan Allah.
Yang dicari walau bukan putera raja, biarlah putera Agama.
Yang diimpi, biarlah tak punya rupa, asal sedap dipandang mata.
Yang dinilai, bukan sempurna sifat jasmani, asalkan sihat rohani dan hati.
Yang diharap, bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat.
Yang datang, tak perlu rijal yang gemilang, kerana diri ini serikandi dengan silam yang kelam.
Yang dinanti, bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia.
Dan yg akan terjadi, andai tak sama dgn kehendak hati, insyaAllah ku redha ketetapan Illahi..
Wahai wanita, ku ingatkan diriku dan dirimu, peliharalah diri dan jagalah kesucian.. semoga redha Allah akan sentiasa mengiringi dan memberkati perjalanan hidup ini.